Monday 18 June 2018

Surat

Masih banyak perkara 
yang kau tak mampu 
rungkai tentangku,
termasuklah rangkap-rangkap 
puisi ibunda yang ku simpan 
kemas dalam laci memori

namun hari ini,
kau telah membuatku menyelongkar
kosa kata dan butiran madah
untuk aku menyusun bicara
ini sebelum kau benar-benar tekad
untuk mengorak langkah dan
pergi mencorakkan pelangimu
dengan warna-warna abstrak
yang samar mataku menilainya,
namun tidak setanding hatimu 
yang klasik, hitam dan putih
yang lebih sukar untukku tafsir.

aku biarkan tanda soal menanti teman memberi erti, kerana aku
hanya seorang penulis dan bukan perisik.

barangkali kau akan kaget tatkala
meneliti cebisan warkah ini,
barangkali tercari-cari telefon bimbit yang sekian lama dibiar sepi,
mungkin terngiang-ngiang deringan nyaring dengan namaku terpacul di
skrin, menghadang senyum entah siapa-siapa sahaja yang menjadi tatapanmu
barangkali bisa tercabut pengemudi kau putar sambil melilau melihat ke luar jika ada kelibatku

maka ketahuilah cinta,
ini bukan petunjuk atau permainan kanak-kanak supaya kau mencariku dan memanggilku kembali.
perkataan-perkataan yang hanya mampu ku ungkapkan di atas helaian kertas ini hanya untuk buat kau mengerti
apa yang berselirat di antara hati-hati kita yang tersimpul mati.

Mengenalimu, cinta,
telah membuatku sangka bahawa aku telah bertemu dengan separuh nyawaku yang sekian lama terbang tak berjejak
namun aku telah membuatmu mengenaliku lebih daripada aku mengenali diriku sendiri sehingga
ia menjadi senjata untukmu
mengheretku kembali apabila aku benar-benar membulatkan hasrat untuk membebaskan mindaku daripada dibelenggu kisah yang tidak berkesudahan ini 
dan setiap kali kau dengar libasan besi,
kau akan pantas menggari tanganku dan memenjaraku.

bagaimana, cinta?
acapkali kau pergi setelah menoreh luka 
pabila sembuh kau muncul dengan
versi yang baharu,
harapan baharu,
seakan-akan kulitmu telah disalin,
dan luka yang lebih perit
dari sebelumnya.
aku akan pulih, cinta,
aku akan pulih.
namun sampai bila kau mahu berlari ke sana ke mari kononnya mencari identiti diri sedangkan
verifikasi itu hanya ada pada dirimu
sendiri?
berhentilah,cinta.
beristirehatlah.

Andai ada masih ada ruang dihatimu untukku, cinta,
maka lapangkanlah.
buanglah kisah lalumu,
jangan biar ia menghantuiku 
dalam setiap waktu tidurku.
andai tiada kesanggupanmu 
untuk melupakan trauma yang membinasakanmu,
maka izinkanlah aku untuk melupakanmu.

sakit, cinta,
sakit.
bersungguh-sungguh aku berdoa 
semoga derita merinduimu ini hanyalah sementara waktu.

jangan gusar, cinta.
aku masih berpegang teguh dengan janjiku,
namun kali ini,
aku benar-benar harus berundur.

ingatlah cinta,
walau tujuh benua memisahkan,
walau hidup dirempuh badai
jika benar takdir bersatu

pasti kita akan bertemu.

No comments: